RAKYAT KEDAH JAYAKAN EKSPRESI NEGARAKU



8rakyat
SUNGAI PETANI 8 April - Siri jelajah Ekspresi Negaraku yang berlangsung di Aman Jaya di sini hari ini mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran ribuan warga Kedah seawal pukul 7 pagi.
Acara bermula dengan Larian Bendera Negaraku yang mendapat sambutan meriah dengan penyertaan 3,000 orang terdiri daripada pelbagai lapisan bangsa dan umur.
Pelancaran acara disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa yang turut melawat sekitar tapak acara yang disertai pelbagai kementerian melalui agensi dan jabatannya.
Ali dalam ucapannya berkata, Ekspresi Negaraku merupakan salah satu usaha dan platform untuk rakyat Malaysia bersatu hati serta menyemai rasa bangga dan semangat patriotisme negara.
“Melaluinya kita mahu terap dan bangkitkan semula semangat jatidiri semua sebagai rakyat Malaysia di semua peringkat hingga ke akar umbi,” katanya ketika berucap merasmikan acara berkenaan.
Majlis Ekspresi Negaraku di sini adalah yang kedua diadakan selepas pelancarannya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 18 Mac lepas.
Kata Ali, pihaknya berhasrat untuk menjelajah di setiap negeri di Malaysia agar lebih banyak rakyat dapat bersama meraikan semangat cintakan, Negaraku.
Oleh : Jamliah Abdullah
Sumber : Utusan