DAPAT MAKLUMAT WUJUD AJARAN SESAT



3dapat
YAN 3 April - Fahaman Syiah dan ajaran sesat dikesan menular dalam kalangan beberapa kelompok masyarakat di daerah ini.
Pegawai Agama Daerah Yan, merangkap Ketua Penguatkuasaan Agama Daerah Yan, Syeikh Zainul Mukhtar Abdullah Sirajuddin berkata, hasil maklumat diperoleh daripada ahli kariah di beberapa buah kampung, di sini, mendapati segelintir masyarakat dikesan mengamalkan fahaman yang bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).
Bagaimanapun katanya, pihaknya tidak dapat mendedahkan lokasi kampung atau kariah terlibat kerana ia masih dalam siasatan.
“Kita sudah ada maklumat dan mengenal pasti lokasi termasuk individu berkenaan. Siasatan akan dilanjutkan ke peringkat negeri sebelum sebarang tindakan diambil. Kami memerlukan sedikit masa sahaja lagi untuk lengkapkan data tertentu,” katanya.
Menurutnya, setakat ini fahaman Syiah di daerah ini hanya melibatkan sekelompok ahli sahaja terdiri daripada individu berusia 40 tahun dan ke atas, dan tidak disebarkan secara meluas.
"Maklumat ini kami peroleh daripada ahli kariah kampung melalui perjumpaan dan program bersama yang dilakukan,” katanya.
Terdahulu, Syeikh Zainul Mukhtar hadir pada sesi Dialog di Dewan Kompleks Pejabat Agama Daerah Yan.
Menurutnya, pihaknya turut menganjurkan sesi jelajah ke semua masjid daerah ini bagi mengadakan perjumpaan dengan ahli kariah masjid pada setiap Jumaat .
"Kami mengambil masa selama dua tahun untuk selesaikan program jelajah di 34 buah masjid, program ini memberi peluang mendekati masyarakat setempat dan mengetahui isu semasa yang berlaku di sesebuah kampung, selain mengumpul maklumat berkaitan kewujudan fahaman syiah dan ajaran sesat," katanya.
Syeikh Zainul Mukhtar berkata, program jelajah ini turut mendapat kerjasama dari pelbagai pihak termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah Yan.
Oleh : Norjuliana Yaacob
Sumber : Sinar