TUTUP SEGERA TEMPAT PELUPUSAN

10tutup
KUALA NERANG 10 Mac - Peneroka di Peringkat Dua, Felda Lubuk Merbau mendesak pihak berkenaan menutup kawasan pelupusan sampah yang didakwa mendatangkan pelbagai masalah kepada mereka.
Kawasan pelupusan sampah yang beroperasi pada 2011 itu menyebabkan tanaman dan persekitaran kawasan itu tercemar serta memberi kesan jangka panjang kepada saliran di situ.
Iswani Taib, 43, berkata, peneroka kecewa apabila Felda meluluskan tempat pelupusan sampah dijalankan di kawasan itu.
Menurutnya, setiap dua hari segala sampah dari penduduk Felda akan dibuang di kawasan itu sehingga menyebabkan berlakunya pencemaran bau.
“Air daripada longgokan sampah sekitar alor (saliran) akan mengalir ke Sungai Ma seterusnya ke Sungai Muda.
"Penduduk bimbang air sungai ini akan tercemar hingga boleh memberi kesan buruk kepada penduduk yang menggunakan air di sungai itu,” katanya.
Katanya, kawasan yang dijadikan pelupusan sampah itu tidak bersesuaian, malah tidak mendapat keizinan dari Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Dalam nada sama, Zulkifli Taib, 53, berkata, keizinan pentadbiran Felda meluluskan kawasan pelupusan sampah di situ sangat membahayakan kerana selama ini Felda Lubak Merbau merupakan kawasan tertinggi jangkitan nyamuk aedes di Padang Terap.
Menurutnya, timbunan sampah itu boleh mengundang pelbagai penyakit jika pihak berkenaan tidak menutup kawasan itu dengan segera.
“Sejak kawasan itu dibuka sebagai kawasan pelupusan sampah, binatang liar seperti babi turun ke situ dan boleh membahayakan peneroka yang bekerja di situ,” katanya.
Katanya, lambakan sampah turut menyebabkan pokok dusun yang ditanam di sekitar alor mati kerana air yang sudah tercemar.
"Peneroka berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera supaya tidak mengundang lebih banyak masalah lagi kepada kami," katanya.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras Keceriaan Felda Lubuk Merbau, Mohd Zaquan Mohad Zain berkata, pihaknya sudah menyedari mengenai masalah itu.
Katanya, kawasan pelupusan sampah di Peringkat Dua itu merupakan kawasan sementara dan akan ditutup pada hujung Mac nanti.
“Masalah itu timbul kerana lambakan sampah yang terlalu banyak hingga menyebabkan Felda terpaksa menyewa RM200 kepada peneroka bagi membuka tempat pelupusan sementara.
“Kini pihak kami telah bekerjasama dengan E-Idaman Sdn Bhd dan semua sampah di Felda ini akan dibawa ke pusat pelupusan sampah di Jabi, Pokok Sena. Oleh itu saya berharap peneroka tidak lagi bimbang dengan masalah yang dihadapi sekarang ini,” katanya.
Sumber : Sinar