FAHAMI KESAN KAHWIN SEMPADAN

9fahami
SUNGAI PETANI 9 Mac - Kerajaan negeri akan mengadakan kunjungan ke negara jiran bagi mengenal pasti mengapa wanita negeri ini lebih suka bernikah di sempadan sekali gus memberi pendidikan agar tindakan ini tidak memudaratkan.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat , Datuk Suraya Yaacob berkata, pihaknya tidak melihat keperluan untuk melonggarkan undang-undang kerana undang-undang diwujudkan untuk menjaga kelangsungan zuriat dan pertalian keluarga.
Menurutnya, jadi apa yang diharapkan wanita tahu hak dan undang-undang ini dan kena faham kalau kahwin di sempadan, bagaimana mereka nak lindungi diri mereka.
"Oleh itu, satu kunjungan akan dilakukan pada 2 dan 3 April ini ke Songkhla, Thailand bersempena lawatan rasmi kerajaan negeri untuk melihat sendiri kenapa wanita tertarik berkahwin di sana," katanya ketika melancarkan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa peringkat negeri Kedah di Pusat Transformasi Bandar di Ukir Square.
Kata beliau, pihaknya mahu masyarakat faham bagaimana undang-undang boleh digunakan dengan baik.
“Dalam masa sama, kita akan keluarkan risalah sebagai penerangan kepada wanita dan ibu bapa agar mereka tahu kalau anak kahwin di sempadan, dia boleh tanya adakah berdaftar dan lakukan proses seterusnya,” katanya.
"Kesan yang dihadapi sekiranya tidak berdaftar semula di Malaysia, sudah pasti tidak sah dari segi undang-undang negara dan syariah.
“Bila itu berlaku akan timbul masalah mengenai anak tidak sah taraf, isu persekolahan, isu perubatan dan lain-lain.
"Itulah isu terbesar membabitkan wanita di Kedah ini,” katanya.
Beliau menjelaskan, lawatan rasmi itu termasuk akan melawat konsulat dan juga akan melawat ke beberapa majlis agama di selatan Thailand.
Menurutnya, perkahwinan tidak boleh dihalang tetapi pihaknya akan memberi pendidikan kepada rakyat Malaysia terutama wanita kalau mereka mahu berkahwin juga di sempadan, mesti tahu bagaimana mahu melindungi diri dan anak-anaknya.
Hadir sama dalam sambutan berkenaan, Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Kedah, Aisa Azira Abd Aziz.
Tujuan sambutan adalah memberi pengiktirafan terhadap sumbangan wanita dalam pembangunan sosioekonomi, kesejahteraan keluarga, masyarakat dan negara khususnya wanita Kedah.
Antara beberapa aktiviti yang menarik dilaksanakan sempena Hari Wanita Antarabangsa 2017 ialah menaiki tren perkhidmatan keretapi elektrik (ETS) dengan mengedarkan risalah, Program Amal Urutan di Rumah Seri Kenangan Bedong dan perkongsian ilmu dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah serta Program Pengurusan Emosi di Pusat Aktiviti Warga Emas Kulim.
Tema sambutan yang diumumkan oleh International Woman’s Day Organization adalah “Be Bold for change” atau Berani Berubah.
Sumber : Sinar