TAK PERLU TAKUT KEMUKA PENYATA

13brim
ALOR SETAR 13 Mac - Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang ditolak permohonannya kerana memiliki perniagaan dan didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), diminta melengkapkan penyata pendapatan bagi membolehkan bantuan itu dipertimbangkan.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, mereka tidak perlu bimbang kerana gagal tersenarai sebagai penerima kali ini, kerana agihan kedua akan disalurkan sekiranya mereka benar-benar layak.
“Kerajaan tetap akan salurkan bantuan jika menepati syarat, kemukakan penyata pendapatan perniagaan atau penyata akaun bank berkaitan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam tempoh rayuan bermula 3 April ini,” katanya, pada sidang media, selepas majlis penyerahan BR1M bagi daerah Kota Setar, semalam.
Menurutnya, penyata itu penting bagi membuktikan pendapatan terkini dan pastinya rayuan itu dipertimbangkan jika mereka layak untuk pusingan kedua, yang dijadual diagihkan menjelang Aidilfitri.
“Selepas semakan itu, jika tidak layak bermakna pendapatan melebihi amaun ditetapkan, hak anda itu akan diberikan kepada individu lain yang lebih memerlukan. Jangan pula takut untuk tampil serahkan dokumen kerana ia untuk kemudahan akan datang,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Bashah turut meluangkan masa meninjau proses agihan baucer BR1M kepada 3,509 penerima dari parlimen Alor Setar dan Kuala Kedah.
“Saya ingin menasihatkan penerima BR1M supaya terlebih dahulu membuka akaun bank bagi melancarkan proses pembayaran. Jika tidak, mereka terpaksa hadir ke Pejabat Daerah untuk ambil baucer,” katanya.
Menurutnya, bantuan RM1,200 yang disalurkan tiga kali setahun itu boleh dimasukkan ke dalam akaun penerima secara terus sekiranya sudah memiliki akaun bank yang dilantik oleh LHDN.
“Hasrat kerajaan mahu mudahkan cara, kita harap bantuan BR1M dapat meringankan beban kewangan keluarga yang memerlukan kerana ini bukan dedak kepada rakyat, tetapi bantuan untuk rakyat,” katanya.
Sumber : Sinar