POLIS BUAT OPERASI ‘PEMBERSIHAN’

13polis
JERLUN 13 Mac - Polis Kedah kini giat me–lakukan 'pembersihan' ter­hadap penjawat awam negeri ini terutama pegawai serta anggotanya bagi memastikan usaha memerangi dadah yang dilancarkan sejak awal tahun ini mencapai objektifnya.
Ketua Polis negeri, Datuk Asri Yusoff berkata, setakat ini pihaknya sudah pun menangkap 30 individu termasuk beberapa anggota polis di negeri ini di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
“Kalau kita hendak hapuskan dadah, anggota penguatkuasaannya perlu terlebih dahulu dibersihkan. Walau siapa pun melakukan kesalahan, kami tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan undang-undang.
“Berani saya katakan, masih ada yang hanya menunggu masa untuk ditangkap. Setakat ini jumlahnya berbelas juga,” katanya selepas majlis Pemantapan Tugas Memerangi Dadah dan Jenayah Bagi Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parlimen Jerlun di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu, di sini semalam.
Majlis tersebut dirasmikan Timbalan Menteri Kewangan yang juga Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Othman Aziz dengan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif serta ketua polis daerah negeri ini.
Sementara itu, katanya, statistik mendapati lebih 70 peratus aktiviti jenayah di negeri ini dilakukan oleh individu terlibat dengan dadah.
“Kebanyakannya menjadikan kerja-kerja jenayah sebagai punca mendapatkan wang membeli dadah. Daripada statistik ini, nilaikanlah betapa jumlah perlakuan jenayah di negeri dan negara ini dapat diturunkan sekiranya masalah dadah dapat diatasi.
“Disebabkan ini kami mengambil inisiatif menjalinkan kerjasama dengan semua pihak berhubung hal ini. Apabila polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menangkap pengedar dan penagih di sesebuah kawasan, kami mahu mendapatkan kerjasama JKKK untuk menjadi mata dan telinga supaya tidak ada lagi anak-anak terlibat dengan dadah,” katanya.
Oleh : Mohd. Rafie Azimi
Sumber : Utusan