MASALAH BUAH PINGGANG DI KEDAH SERIUS

13pinggang
ALOR SETAR 13 Mac - Masalah buah pinggang di Kedah semakin serius dengan obesiti, kencing manis dan darah tinggi dikenal pasti sebagai penyebab utama, kata Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Norhizan Ismail.
Beliau berkata dari segi obesiti, tinjauan Kesihatan Kebangsaan 2015 menunjukkan seorang daripada tiga penduduk Kedah, atau 33.3 peratus mengalami obesiti dan berkemungkinan mengalami masalah buah pinggang.
"Kita bimbang kerana kencing manis dan darah tinggi juga penyebab utama masalah buah pinggang dan setakat ini kadar penyakit kencing manis ialah 25.4 peratus manakala darah tinggi 37.4 peratus, kedua-duanya tertinggi di negara ini," katanya.
Beliau berucap pada sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2017 peringkat Kedah di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Sehubungan itu, Dr Norhizan menggesa penduduk Kedah agar mengamalkan gaya hidup sihat dengan pemakanan seimbang.
Pada masa sama, beliau turut menggesa ibu bapa memberi tumpuan kepada obesiti dalam kalangan kanak-kanak yang boleh merencatkan pertumbuhan fizikal dan minda mereka.
"Jangan dedahkan anak-anak kepada makanan segera atau minuman berkarbonat kerana boleh menyebabkan kegemukan dan sekali gus berisiko tinggi mengalami kerosakan organ buah pinggang," katanya.
Program anjuran Persatuan Nefrologi Malaysia dengan kerjasama Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan dan Unit Nefrologi HSB turut melibatkan Jelajah Kayuhan Kangar-Putrajaya melibatkan 30 peserta, zumba, pameran cara pemakanan sihat dan pameran ubat-ubatan yang mengancam fungsi buah pinggang. - Bernama
Sumber : Sinar