BUDAYAKAN MEMBACA AL-QURAN



20budaya
KULIM 20 Mac - Umat Islam terutama dalam kalangan generasi muda di negeri ini perlu menjadikan amalan membaca al-Quran sebagai salah satu cabang menambah ilmu dalam melahirkan masyarakat berkualiti.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, amalan tersebut bukan sahaja mampu menambah iman di dada tetapi secara tidak langsung memacu kecemerlangan dalam hidup masing-masing.
“Jadikan amalan membaca al-Quran ini sebagai salah satu cara memperbaiki diri sendiri terutama bagi generasi muda hari ini. Al-Quran adalah panduan umat Islam yang terbaik,” kata­nya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Al-Quran Di Hatiku, Satu Hari Satu Muka Surat anjuran Pejabat Daerah Kulim dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah Kulim di Masjid Saidina Abu Bakar As-Sidiq Taman Kenari, di sini semalam.
Turut hadir Pegawai Daerah Kulim, Mohamad Che Nai dan Pegawai Agama Daerah Kulim, Sheikh Muzamil Yop.
Menurutnya, amalan yang baik itu secara tidak langsung membawa kebaikan bukan sahaja untuk diri sendiri malah anggota keluarga lain.
“Saya memuji langkah yang diambil oleh pihak berkenaan di daerah ini dan ia boleh dicontoh oleh pentadbir masjid di daerah lain selepas ini,” katanya.
Pada majlis itu, Ahmad Bashah menyampaikan al-Quran kepada imam dari 38 masjid di daerah ini.
Oleh : Abd Razak Osman
Sumber : Utusan