RELAU KEKAL PENGELUAR DURIAN BERKUALITI




    14relau
    BANDAR BAHARU 14 Februari - Jabatan Pertanian Negeri Kedah bersetuju untuk menggalakkan penanaman durian jenis Musang King di samping mengekalkan dusun durian di Mukim Relau di sini sebagai pengeluar utama 'raja buah' itu di Kedah.
    Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd. Noor berkata, selain jenis Musang King (Raja Kunyit), spesies Duri Hitam juga akan turut diperkenalkan.
    "Selain itu, program lain untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di sini, projek Sawah Gemilang melibatkan 834 hektar sawah di Mukim Bagan Samak yang mampu menghasilkan purata 7 metrik tan padi, setiap hektar sawah merupakan penghasilan terbaik di luar kawasan Jelapang Kedah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Maufakat Jalinan Tani Jabatan Pertanian Zon Selatan di sini, hari ini.
    Katanya, selain itu melalui program Rimbunan Kasih di sini yang menempatkan seramai 100 peserta di tanah seluas 12 hektar membabitkan kos RM23 juta juga telah menampakkan hasil dalam bidang pertanian dan akuakultur.
    Seramai 28 usahawan tani dari tiga daerah iaitu daerah ini, Kulim dan Baling menerima bantuan peralatan kecil pertanian bernilai hampir RM150,000 untuk memudahkan mereka menjalankan kerja dalam bidang pertanian yang mereka usahakan.
    Pengarah Pertanian Negeri Kedah, Mohamed Bukhori Abdul Rahman berkata, jabatannya mendapat peruntukan RM2.5 juta untuk menjayakan program Sawah Gemilang seluas 32,000 hektar iaitu penanaman di luar kawasan Jelapang Kedah.
    "Kini kebanyakannya berjaya mengeluarkan hasil purata 5 metrik tan padi pada sehektar sawah yang diusahakan. Selain itu Jabatan Pertanian juga kini sedang menggalakkan penanaman cili merah secara fertigasi dalam kalangan penduduk di negeri ini iaitu sebanyak lebih 400,000 polibag, dalam usaha mengurangkan import cili merah," katanya.
    Sumber : Utusan