NENEK JAGA CUCU RAYU BANTUAN



17nenek
JITRA 17 Februari - Sudahlah hidup dalam kedaifan, seorang nenek, Tom Samah, 63, terpaksa pula menjaga dua cucunya yang menghidap penyakit kronik selepas kedua-dua ibu bapa mereka menghilangkan diri.
Tom berkata seorang cucunya, Amar Darwish Azhari yang berusia 17 bulan mula menghidap penyakit kulit kronik sejak berumur setahun.
"Dia mula mengalami ruam selepas mendapat suntikan pada umur setahun di sebuah klinik kesihatan di sini.
"Bagaimanapun, ruam itu hilang tak lama selepas itu namun dikepalanya tumbuh biji seperti kudis. Sejak itu, dia mula mengalamai masalah kulit mengelupas, kering dan bersisik hampir keseluruhan badannya," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Tandop Kedabu, Kuala Jerlun di sini hari ini.
Lebih menyedihkan, Amar Darwish akan menangis setiap kali dimandikan kerana pedih dan gatal.
Menurut Tom yang juga penghidap kencing manis dengan kesemua jari kaki kanannya telah dipotong dan buta sebelah mata, ada kalanya Amar Darwish akan menggaru badan sehingga luka dan berdarah.
Di samping Amar Darwish, Tom turut menjaga abang Amar Darwish iaitu Iman Darwish, 3, yang mengalami kesukaran untuk berdiri dan berjalan.
"Kata doktor, dia menghidap penyakit tulang pinggang yang lembut. Untuk rawatan, memang saya tak mampu.
"Malah sekarang, duit untuk membeli susu cucu-cucu ini juga terjejas disebabkan Jabatan Kebajikan Masyarakat menamatkan pemberian bantuan dengan alasan saya tidak membuat kemaskini," katanya.
Tom berkata, rumahnya pula kerap kali dinaiki air apabila sungai yang terletak tidak sampai satu meter melimpah manakala bumbung rumah pula bocor.
"Cuma sekarang, saya hanya bergantung kepada anak lelaki saya, Mazri Ahmad, 30, yang bekerja sebagai kelindan lori dengan berpendapatan sekitar RM600 dan isterinya, Ruzaini Zainol, 29, untuk membantu menjaga Amar dan Iman Darwish.
Mereka yang ingin memberi sumbangan oleh menyalurkan ke akaun Tom iaitu 0213441000050189 (Bank Simpanan Nasional) atau menghubungi 017-5808985 (Ruzaini).
Sumber : Utusan