PEMUDA KURANG UPAYA HIDUP MENDERITA


9pemuda
SUNGAI PETANI 8 Disember - Andai berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul namun, demikian penderitaan yang harus ditanggung seorang pemuda Shamrin Ahmad, 23, yang terlantar sejak lahir lagi kerana kurang upaya selain mengalami pendarahan dalam kepala.
Ibunya, Che Rohyaha Manap, 58, berkata, adik kembarnya, Shamil, 23, berada dalam keada­an sihat dan kini bekerja di Mydin, Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang.
“Setiap hari, Shamrin hanya boleh meniarap dan terlentang dalam rumah sahaja selepas menghidap masalah pendarahan dalam kepala, dia juga tidak boleh bercakap dan melihat.
“Sebenarnya, mereka dilahirkan pramatang ketika kandu­ngan mencecah lebih 28 minggu pada 1 Disember 1995. Shamrin dilahirkan dengan berat hanya 1.3 kilogram manakala Shamil pula seberat 850 gram,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Deraka, Kota Kuala Muda di sini, semalam
Menurutnya, sebagai ibu, dia sanggup melakukan apa sahaja untuk menjaga Shamrin.
“Dia tidak berupaya membesar lagi, kadang-kadang menghadapi masalah kekejangan sangat teruk.
“Dia cuma makan Nestum dan minum susu Fernleaf sahaja, makanan lain, termasuk jus buah-buahan tidak dapat ditelan olehnya. Lampin pakai buang digunakan antara enam hingga enam keping sehari,” katanya.
Tambahnya, suami, Ahmad Omar, 62, hanya seorang nelayan mencari ketam nipah dan ikan pari di kawasan Sungai Merbok.
“Shamrin dapat bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Kuala Muda RM300 sebulan dan wang itu dibelanjakan untuk membeli barang ke­perluannya, termasuk ubat RM30 sebulan,” tambah Rohyaha.
Sementara itu, Econsave Taman Petani Jaya di sini menghulurkan bantuan makanan, termasuk beras, minyak masak, roti dan lain-lain, bernilai RM1,000.
Pengurus Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor berkata, pihaknya tampil menghulurkan sumbangan setelah melihat keluarga itu adalah daripada keluarga susah yang kini menyewa rumah di kampung itu sebanyak RM100 sebulan.
Jika ada pihak-pihak tertentu yang prihatin dengan kehidupan keluarga ini bolehlah menghulurkan sumbangan kepada Che ­Rohyaha melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 02124-29-82823802-5.
Oleh : Abd. Razak Osman
Sumber : Utusan