PERKASAKAN PENDIDIKAN NEGARA



20perkasakan
SUNGAI PETANI 19 November - Semua pihak terutama ibu bapa perlu memahami bahawa format baharu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bukan sekadar berteraskan akademik tetapi turut menilai kecemerlangan menyeluruh pelajar ke arah memperkasakan sistem pendidikan setanding negara maju.
Menteri Pendidikan, Datuk Se­ri Mahdzir Khalid memberitahu, banyak negara luar mengguna pakai format sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dalam sistem peperiksaan mereka.
“Dalam soal ini (pelaksanaan sistem PBS), sesetengah negara sudah buat lama seperti Jepun, Korea, Singapura, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
“Jadi penggunaan sistem baharu berasaskan PBS ini memberi gambaran bahawa sistem pendidikan kita kini beralih ke satu tahap yang lebih tinggi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Konvensyen UMNO Ke­dah 2016 yang dirasmikan Men­teri Besar, Datuk Seri Ahmad Ba­shah Md. Hanipah di Dewan Kenangan Majlis Perbandaran Su­ngai Petani (MPSP), di sini hari ini.
Mengulas lanjut perkara itu, kata Mahdzir, ibu bapa perlu memahami proses pemerkasaan PBS itu akan memanfaatkan pelajar setelah mereka berada di peringkat sekolah menengah yang turut berteraskan sistem PBS.
Mengenai kemasukan ke sekolah berasrama penuh, beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya tidak terlalu memikirkan tentang keputusan A dalam UPSR memandangkan penilaian akan dibuat meliputi pelbagai bidang lain.
“Seperti yang dimaklumkan (Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamed Yusof) kemasukan ke sekolah berasrama penuh pun kita tak akan ambil kira sepenuhnya pencapaian akademik, tetapi turut nilai sama kriteria lain seperti Pentaksiran Psikometrik (Ppsi) serta Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
“Pendek kata, kalau dapat berapa A sekali pun tetapi tak ada elemen ditetapkan, itu pun tetap tak boleh masuk SBP kerana ka­edah baharu selepas ini akan berasaskan kedua-dua petunjuk iaitu akademik dan bukan akademik,” katanya.
Beliau menjelaskan, format baharu UPSR itu dilaksanakan pada 2011 setelah berbincang dengan semua pihak termasuk kesatuan guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan badan bukan kerajaan (NGO) pada 2010.
“Tahun 2011 dimulakan pelaksanaan PBS kepada murid tahun satu dan 2016 peperiksaan UPSR pertama dilaksanakan menggunakan format baharu,” katanya.
Oleh : Jamliah Abdullah
Sumber : Utusan