MUDAH DAPAT BANTUAN




    2mudahALOR SETAR 1 November - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyaran ibu bapa atau keluarga yang mempunyai anak orang kurang upaya (OKU) berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menikmati kemudahan yang disediakan pelbagai agensi kerajaan mahupun swasta.
    Timbalan Menterinya, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, pendaftaran itu penting bagi membolehkan kerajaan merancang program pembangunan meliputi aspek pemulihan, latihan dan pendidikan selain menyediakan kemudahan yang sesuai kepada OKU.
    “Berdasarkan sistem pengurusan maklumat OKU, terdapat 400,500 orang yang telah berdaftar dengan JKM sehingga kelmarin. Bagi zon utara, Kedah mencatat jumlah pendaftaran paling ramai iaitu 35,632 orang diikuti Pulau Pinang (24,179 orang) dan Perlis seramai 4,887 orang.
    “Di kesempatan ini, saya ­ingin menyeru semua lapisan masyarakat termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kepentingan OKU supaya mendaftar secepat mungkin supaya mereka boleh menikmati segala kemudahan yang di sediakan,” katanya.
    Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Zulkiply Ramli ketika merasmikan Program Roadshow Pelan Tindakan OKU 2016-2022 Zon Utara di sini kelmarin.
    Dalam pada itu, Azizah meminta semua pihak berkepen­tingan berkaitan OKU supaya berkongsi sumber baik dalam bentuk kewangan atau kepakaran untuk sama-sama membangunkan golongan tersebut selaras dengan Pelan Tindakan OKU 2016-2022.
    “Bentuk kerjasama membabitkan pelbagai sektor ini bagi memastikan setiap bentuk pembangunan dapat disampaikan secara berkesan kepada kumpulan sasar (OKU). Malah untuk memastikan kejayaan pelan tindakan ini, pendekatan trek berkembar harus diberi perhatian oleh semua pihak.
    “Kita hendaklah melihat setiap isu dan kaedah pembangunan OKU dengan mengambil kira kedua-dua elemen iaitu pemerkasaan dan pengupayaan yang perlu dilakukan serentak bagi membolehkan golongan ini berdikari,” ujarnya.
    Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
    Sumber : Utusan