KEDAH MOHON KUIN DINAIK TARAF




    6kedah
    ALOR SETAR 6 November - Bagi melahirkan sebuah institut pengajian tinggi Islam (IPT) pertama di negeri ini, kerajaan negeri Kedah akan memohon supaya Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Kuala Ketil dinaik taraf kepada sebuah universiti penuh pada tahun hadapan.
    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, kerajaan negeri sudah pun mendapat mandat dan perkenan daripada Tuanku Sultan Kedah yang juga Canselor Kuin Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah untuk menaik taraf IPT milik penuh kerajaan negeri itu.
    "Komitmen ini adalah selari dengan iltizam kerajaan negeri untuk melihat Islam dan tradisi keilmuan dimartabatkan di negeri ini. Ia adalah sejajar dengan hasrat dan titah Sultan Kedah pada konvokesyen Kuin ke-18 September lalu.
    "Kuin sudah pun memenuhi kriteria yang ditetapkan seperti jumlah tenaga pengajar, jumlah pelajar luar negara dan modal berbayar," katanya.
    Beliau berkata demikian pada pemberita dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat Lembaga Pengarah Kuin di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
    Jelasnya dalam tempoh beberapa bulan ini, pihaknya bersama-sama Kuin akan menggembleng segala usaha dan komitmen ke arah itu sebelum membawa permohonan tersebut kepada Kementerian Pengajian Tinggi.
    Sumber : Sinar