IBU TUNGGAL OKU DAPAT PERHATIAN




    10ibu
    YAN 10 November - Nasib ibu muda berstatus kurang upaya (OKU) di Kampung Setar, Titi Serong, di sini akhirnya mendapat perhatian apabila menerima beberapa kunjungan yang hadir ke rumahnya bagi menyampaikan bantuan.
    Nur Syarifah Subhi, 21, berkata, dia menerima pelbagai bentuk bantuan termasuk wang tunai daripada pemain bola sepak Kedah yang disampaikan wakilnya beberapa hari lalu.
    "Sejak suami meninggal dunia, saya besarkan anak dengan bantuan duit Perkeso dan wang sumbangan Lembaga Zakat Negeri Kedah," katanya ketika menerima kehadiran Pengurus Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor ke rumahnya, kelmarin.
    Menurutnya, selain perlu membayar ansuran bulanan motosikal, wang bulanan yang diterima juga digunakan untuk membeli barangan basah dan kering untuk adik beradik serta keluarga.
    "Saya perlu membantu keluarga memandangkan pendapatan ibu dan bapa tiri yang bekerja sebagai pengawal keselamatan gantian tidak menentu," katanya.
    Nur Syarifah yang juga pemegang kad OKU masalah pembelajaran mampu menguruskan diri serta dua anak, Siti Nur Ameliana, 17 bulan, dan Sulaiman, 10 tahun, kerana pernah menyambung persekolahan sehingga ke peringkat menengah serta seorang yang berdikari.
    Kini, dia menumpang di rumah ibunya, Umi Kalsom Hashim, 46, bersama empat beradik lain berusia antara tujuh hingga 23 tahun setelah suaminya jatuh sakit dan meninggal dunia awal tahun lalu.
    Abangnya, Muhammad Azrin, 23, juga merupakan pemegang kad OKU dan tidak bekerja.
    Sementara itu, Zamzuri berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib ibu tunggal berstatus OKU yang pernah disiarkan Sinar Harian sebelum ini.
    "Disebabkan itu kami bertindak turun padang melihat sendiri kepayahan yang ditanggung keluarga Nur Syarifah.
    “Melalui Dana Econsave Prihatin, kita sampaikan barangan berupa keperluan harian dan sedikit barangan dapur untuk kegunaan mereka bernilai RM1,000. Diharap dengan sumbangan ini dapat meringankan beban yang ditanggung mereka,” katanya.
    Sumber : Sinar