TRANSFORMASI NASIONAL 2050 BAWA SUARA RAKYAT



23transformasiSUNGAI PETANI 22 Oktober - Jika sebelum ini hala tuju negara hanya ditetapkan oleh pemimpin dan pemerintah, Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bakal membawa pembaharuan dengan suara rakyat dijadikan sebagai penentu kepada penetapan misi dan visi negara untuk tempoh tiga dekad akan datang.
Menyifatkan pengumuman itu sebagai sesuatu yang amat berwawasan, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, beliau sudah menerima mandat daripada Perdana Menteri agar mendapatkan pandangan rakyat mengenai pembentukan negara yang mereka inginkan dalam tempoh 30 tahun lagi.
“TN50 merupakan dialog nasional yang sangat penting kerana Perdana Menteri mahu menzahirkan satu hala tuju negara yang datang dari rakyat agar visi kita untuk sampai ke 2050 benar-benar diwakili rakyat dan bukan sesuatu yang direka atau dicipta pemimpin tertentu serta peme­rintah semata-mata.
“Untuk itu, kami akan menga­dakan konsultasi dengan semua peringkat terutama di institusi pengajian tinggi (IPT), sekolah, persatuan-persatuan belia serta membuka ruang di media-media sosial untuk anak-anak muda memberi pandangan kerana se­perti kata Perdana Menteri sema­lam, generasi baharu inilah yang bakal memimpin negara pada 2050,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika menghadiri program Fit Malaysia peringkat negeri di Institut Pendidikan Guru Sultan Abdul Halim di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatan­kuasa Sains, Inovasi dan Tek­no­logi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Manusia, Datuk Norsabrina Mohd. Noor; Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Abdul Rahim Saad serta lebih 10,000 rakyat di negeri ini yang menyer­tai pelbagai aktiviti sukan disediakan.
Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2017 semalam menunjukkan keseriusan untuk menyediakan generasi baharu berjaya dalam tempoh 30 tahun akan datang dengan memperkenalkan TN50 yang dikendalikan oleh Kementerian Belia dan Sukan serta dinaungi olehnya sendiri.
Jelas Perdana Menteri, TN50 akan digerakkan oleh generasi muda pelbagai kaum melalui wacana-wacana nasional seperti diputuskan Kabinet bagi memeta hala tuju negara di atas sebuah kanvas yang baharu.
Khairy dalam pada itu memak­lumkan, ada dalam kalangan pi­hak tertentu mempersoalkan me­ngapa perlu ada usaha yang baharu sedangkan kita sudah semakin hampir untuk sampai ke penghujung wawasan lama.
“Sebabnya kerana kita cuma ada tiga tahun lagi menjelang 2020 di mana ada matlamat yang sudah dicapai dan ada juga yang masih diusahakan. Tidak semes­tinya apabila kita sampai ke ga­risan penamat, kita tidak boleh mempunyai visi yang lain pula.
“Golongan belia akan berpeluang memberi cadangan berhubung apa saja isu termasuk ekonomi, pendidikan dan budaya. Saya fikir, kami akan mengambil tempoh antara satu hingga dua tahun bagi mengumpul serta mengkategorikan semua itu sebelum Perdana Menteri mengumumkan mengenai intipati sebenar TN50 yang membawa suara rakyat keseluruhannya,” katanya.
Oleh : Mohd Rafie Azimi
Sumber : Utusan