PENCARIAN MH370 DILANJUT TAHUN DEPAN




    20pencarianSUNGAI PETANI 20 Oktober - Kerajaan Malaysia, China dan Australia bersetuju me­lanjutkan tempoh pencarian pesawat MH370 ke tahun depan berikutan faktor cuaca bu­ruk yang dikhuatiri mengganggu kelancaran misi tersebut.
    Pengerusi Jawatan­kua­sa Komunikasi dan Media Pencarian MH370, Datuk Jailani Johari ber­kata, keputusan itu diambil setelah ketiga-ti­ga negara menyatakan ko­mitmen untuk menyempurnakan pencarian di kawasan seluas 120,000 kilometer persegi yang dipercayai menjadi lokasi di mana penerbangan tersebut ber­akhir.
    “Ketiga-tiga negara bersetuju me­ngenai cadangan tersebut. Biasanya pada hujung tahun, cuaca tidak elok dan perkara itu dikhua­tiri menghalang misi pencarian dilakukan dengan sempurna.
    “Disebabkan itu, kami bersetuju dengan cadangan pihak penyia­sat iaitu misi pencarian perlu dipanjangkan mungkin sehingga Februari depan bagi memastikan baki kawasan pencarian yang belum diteroka, dipe­rik­sa dengan teliti,” kata­nya.
    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meras­mikan forum isu semasa mengenai ancaman militan Daesh anjuran kementerian dan Jabatan Penerang­an di Dewan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) di sini hari ini.
    Forum dihadiri ki­ra-kira 200 peserta itu disampaikan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
    Julai lalu, Mesyuarat Tiga Pihak Peringkat Menteri yang dihadiri ketiga-tiga negara tersebut memutuskan misi pencarian tersebut akan digantung sebaik sahaja operasi pencarian di kawasan seluas 120,000 kilometer persegi selesai.
    Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, penggantungan itu tidak bermaksud misi tersebut dihentikan, se­baliknya operasi hanya akan disambung sekiranya terdapat bukti-bukti baharu yang boleh dipercayai oleh semua pasukan pencarian.
    Sementara itu katanya, seba­nyak 36 laman web dalam bahasa Melayu, Indonesia dan Inggeris yang terlibat dalam menyebarkan dakyah-dakyah Daesh sudah pun disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sehingga Ogos lalu.
    Menurutnya, tindakan itu dibuat menerusi pemantauan dilakukan, di samping kerjasama erat antara SKMM dengan polis.
    “Selain laman web, SKMM turut melakukan sekatan terhadap 72 pautan, 12 akaun media sosial dan 29 kandungan video yang kesemuanya didapati mempunyai kaitan dengan usaha pihak tertentu menyebarkan fahaman berkaitan pengganas,” katanya.
    Oleh : Mohd Rafie Azimi
    Sumber : Utusan