RISDA TERUS PANTAU PRODUK



8risda
ALOR SETAR 8 Oktober - Pemantauan secara berterusan akan dijalankan terhadap produk yang mendapat Logo Produk Muslim dikeluarkan oleh Risda bagi memastikan tahap kebersihan dan kesuciannya.
Pengerusinya Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata pemantauan itu bagi memastikan produk yang dihasilkan benar-benar mematuhi syarat dan halal untuk dijual kepada pembeli.
"Kita akan bekerjasama dengan Mara untuk menguji tahap kebersihan dan kesucian produk.
"Pemeriksaan secara percuma ini adalah bagi memastikan tiada usahawan yang cuba mengambil kesempatan untuk mendapatkan logo ini daripada Risda," katanya selepas merasmikan Karnival Usahawan Risda Negeri Kedah 2016 di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian untuk memberi penjelasan selepas Jakim mempersoalkan tindakan Risda untuk mengeluarkan logo halal selain daripada logo yang dikeluarkan Jakim.
Zahidi berkata Risda mengambil inisiatif untuk mengeluarkan logo tersebut selepas menyedari ramai usahawan Muslim yang sukar memasarkan produk mereka selepas gagal mendapatkan sijil halal oleh Jakim.
Beliau berkata Risda akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memberi latihan kepada usahawan luar bandar untuk mempromosikan produk keluaran mereka secara dalam talian.
Katanya, sehingga kini terdapat 11,740 usahawan Risda di seluruh negara.
Sumber : Bernama