IKAN DIRAMAL NAIK 20%



19ikan
ALOR SETAR 19 Oktober - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menjangkakan harga ikan dan makanan laut akan naik sehingga 20 peratus berikutan berlakunya fenomena air pasang besar di negeri ini
Pengarah LKIM ne­geri, Baharudin Kadri berkata, kenaikan harga itu dijangka berlaku disebabkan jumlah pendaratan ikan dan makanan laut semasa fenomena ini adalah kurang daripada biasa.
“Disebabkan fenomena air pasang ini, sedikit sebanyak menjejaskan jumlah pendaratan ikan atau makanan laut di negeri ini. Oleh itu, pengguna perlu tahu bahawa ikan dan makanan laut tidak termasuk dalam senarai barangan kawalan.
“Maka harga ikan dan makanan laut tidak boleh dikawal (pasaran bebas) kerana bergantung kepada penawaran dan permintaan.
“Bagaimanapun, saya menjangkakan keadaan ini (kenaikan harga) tidak lama dan dalam tempoh tiga atau empat hari keada­an akan pulih seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Baharudin, pengguna ba­gai­manapun tidak perlu bimbang kerana pihaknya mendapatkan stok daripada kawasan yang tidak terjejas dengan fenomena tersebut bagi memastikan bekalan ikan dan makanan laut mencukupi.
“Pada masa ini, bekalan mencukupi dan kenaikan harga masih boleh dikawal. Selain mendapatkan ikan segar, pengguna juga mempunyai pilihan untuk membeli produk import yang dijual pada harga lebih murah,” ujarnya.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati harga ikan dan makanan laut di Pasar Besar Alor Setar masih pada kadar berpatutan dan tidak menunjukkan peningkatan harga yang ketara.
Ikan tongkol misalnya dijual pada harga RM10 sekilogram manakala ikan kembong dijual antara RM3 hingga RM 6 sekilogram mengikut grednya.
Begitu juga dengan harga sotong yang ditetapkan mengikut gred dan dijual diantara RM8 dan RM12 sekilogram.
Pengerusi Pasar Besar Alor Setar, Mohd. Fauzi Sharip berkata, menerusi pemantauan mendapati tiada tanda-tanda kenaikan harga ikan dan makanan laut di pasar tersebut sejak fenomena air pasang besar berlaku.
“Di pasar ini terdapat kira-kira 40 peniaga ikan dan makanan laut dan tinjauan yang saya lakukan mendapati harga barangan tersebut masih terkawal pada masa ini,” katanya.
Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
Sumber : Utusan