KAYU TERBUANG BERNILAI TINGGI



ALOR SETAR 4 Oktober - Kayu buruk dan terbuang mungkin dianggap tidak bernilai, namun mampu beri pendapatan lumayan kepada sesetengah orang.
Menurut Basri Saad, 49, kayu terbuang boleh dikitar semula menjadi benda baharu, khususnya kraf tangan luar biasa dan istimewa melalui kemahiran dimiliki.
“Kalau nampak kayu terbuang berbentuk pelik atau unik, lagi bernilai tinggi kerana hasilkan corak semula jadi.
“Saya akan guna sentuhan kreativiti yang ada untuk buat rekaan bersesuaian daripada kayu jenis itu,” katanya ketika ditemui di Pasar Karat Kampung Berjaya, semalam.
Menurutnya yang lebih mesra dengan panggilan Arie Rustic, minat mendalam terhadap kayu berbentuk sedemikian memberi inspirasi kepada nama perusahaan, Rustic Craftherbs.
Kata Arie, dia sanggup mendaki bukit mahupun meredah pinggir pantai demi mencari kayu hanyut dan terbuang demi menghasilkan karya luar biasa.
"Hasil kraf tangan luar biasa mendapat sambutan menakjubkan daripada mereka yang menghargai kesenian, khususnya pelanggan Cina. Malah, ada beberapa karya kraf tidak diletakkan syelek atas permintaan pelanggan kerana dianggap mampu mengurangkan nilai demi mendapatkan bentuk asli.
"Bagaimanapun, saya turut buat kraf tangan bercorak biasa dari kayu merbau dan cengal bagi memenuhi cita rasa sebilangan pelanggan," katanya.
Arie yang memiliki kelulusan dalam bidang elektrikal berkata, dia enggan mensia-siakan bakat semula jadi dalam kraf tangan kayu diwarisi daripada bapa dan datuknya.
Menurut bapa anak empat berusia antara 12 hingga 24 tahun ini lagi, dia menceburkan diri dalam bidang kraf tangan kayu sejak 2002.
Katanya, dia melakukan kerja menghasilkan kraf tangan berasaskan kayu di premis ala kafe kraf diusahakan di Kuala Sungai, di sini, setiap hari kecuali Jumaat (selepas solat Jumaat).
Sumber : Sinar