TERPAKSA MENOREH WALAUPUN UZUR



15terpaksa
BANDAR BAHARU 15 Oktober - Pasangan warga emas yang tinggal di Kampung Sungai Kasai, dekat sini, memohon sumbangan bagi meneruskan sisa kehidupan mereka.
Bekas Polis Hutan, Hashim Abu, 89, bersama isterinya, Che Salmah Ariffin, 78, tinggal berdua sejak dua anak mereka meninggal dunia, beberapa tahun lalu.
Hashim berkata, dia tidak boleh melakukan sebarang pekerjaan setelah betis kanannya hancur akibat kemalangan, lebih dua tahun lalu.
Selain itu katanya, dia perlu bergantung dengan pengambilan ubat bagi mengelakkan pitam kerana menghidap darah tinggi.
“Saya tak boleh nak buat kerja apa lagi, kaki dah tak kuat macam dulu akibat kemalangan. Saya duk berjalan dalam rumah saja. Sekarang saya kena makan ubat yang diambil dari klinik berdekatan. Kalau tak makan, saya pening kepala dan boleh pitam," katanya.
Menurut Che Salmah pula, dia terpaksa memanjat bukit di belakang rumah untuk menoreh getah bagi mendapatkan sedikit wang.
Bagaimanapun katanya, hasil jualan getah tidak sampai RM100 sebulan, bergantung kepada keadaan cuaca dan kesihatannya.
“Saya masih melakukan kerja menoreh getah di belakang rumah. Pokok getah pula ada atas bukit, memang terpaksa panjatlah untuk cari duit menampung keperluan hidup.
“Alhamdulillah, setakat ini saya masih kuat. Kadang-kadang kalau tak sihat, tak pergilah menoreh. Pendapatan tak menentu, dapatlah RM70 atau RM80 sebulan. Duit inilah nak guna beli lauk, beras dan keperluan lain. Alhamdulillah, ada juga jiran sedekah, bolehlah saya tampung keperluan hidup,” katanya.
Tambah Che Salmah, walaupun sudah memohon bantuan elaun sara hidup daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak awal tahun ini, namun dia masih belum mendapat keputusan berhubung permohonan itu.
“Saya dah mohon bantuan JKM, tapi sampai hari ini belum dapat keputusan. Suami pun dah ada kad orang kurang upaya (OKU), tapi tak terima bantuan juga.
“Bukan kami nak sangat duit itu, tapi kalau ada bantuan, boleh simpan jika terdesak.. Harapkan saudara-mara, saya pun faham mereka juga susah,” katanya.
Sumber : Sinar