TUMPAHAN MINYAK JEJAS SAWAH PADI




ALOR SETAR 24 September - Beberapa petani mendakwa menanggung kerugian berikutan masalah tumpahan minyak yang mengakibatkan pencemaran sawah padi di Kampung Gunung Sali, di sini, sejak Julai lepas.
Wakil petani, Mohd Fauzi Abd Rahim, 26, tanaman padi berkeluasan 1.7 hektar terjejas akibat tompokan minyak hitam tersebut.
“Disebabkan tumpahan minyak itu, tanaman padi diusahakan tidak tumbuh serentak. Ada bahagian nampak seolah-olah sudah masak, namun ada yang masih hijau.
“Malah, saya terpaksa berbelanja lebih berbanding sebelumnya untuk menanam semula padi apabila ada anak pokok padi mati. Saya perlu mengeluarkan modal kira-kira RM460 bagi setiap relung untuk membeli benih baru bagi setiap petak sawah yang rosak akibat tumpahan minyak itu.
“Jika dulu, saya boleh memperoleh pendapatan RM1,200 bagi setiap relung, tetapi sekarang dah berkurang banyak apabila pendapatan hanya dari bahagian padi boleh dituai,” katanya.
Kata Fauzi, dia mula menyedari tompokan minyak di sawah padinya ketika melawat kawasan berkenaan pada hari kedua Aidilfitri baru-baru ini.
Menurutnya, mereka mengesyaki tumpahan minyak dipercayai berpunca dari sistem perparitan sekitar yang bocor sehingga mengalirkan bahan itu dari pencawang berdekatan ke sawah petani.
Fauzi berkata, tompokan minyak berwarna kemerahan dalam sawah padi pada peringkat awal, kini telah bertukar menjadi kehitaman berikutan tidak dibersihkan sehingga hari ini.
"Dianggarkan kos sekitar RM10,000 diperlukan misalnya untuk menyewa jentera bagi membersihkan tumpahan minyak sepenuhnya. Itu pun belum tentu boleh bersihkan sawah padi segera, kerana kita perlu tunggu tanah betul-betul kering untuk mengorek dan membuang sisa tumpahan itu,” katanya.
Situasi sama dilalui Rosrizal Ismail, 43, yang turut mengharapkan pembelaan sewajarnya apabila tanaman padi mereka rosak akibat tumpahan minyak itu.
Dalam masa yang sama katanya, kebanyakan petani berdekatan melahirkan kebimbangan sawah padi mereka mengalami nasib sama, jika keadaan dibiarkan tanpa tindakan segera.
Susulan itu, katanya, pihaknya berharap mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan demi mencari jalan penyelesaian menangani masalah menimpa beberapa petani kawasan itu.
Oleh : NURUL HIDAYAH HAMID
Sumber : Sinar