RAKYAT MISKIN DISARAN DAFTAR E-KASIH



31rakyat
SIK 30 Ogos - Rakyat miskin di negeri ini disaran mendaftar dalam sistem e-Kasih bagi mengikut Program Peningkatan Pendapatan (PPP) Mobilepreneur untuk membaiki taraf hidup de­ngan menjadi usahawan berge­rak.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah berkata, menerusi program itu mereka berpeluang mengikuti kursus yang dianjurkan Felcra Trading & Consultancy Sdn. Bhd. (FTC), untuk keluar daripada kepompong kemis­kinan.
“Program ini merupakan ini­siatif Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk membantu masyarakat luar bandar meningkatkan pendapatan dengan menjadi usahawan bergerak.
“Mereka yang terpilih meng­ikuti program ini akan diberi bimbingan dan bantuan peralatan seperti mesin jahit, mesin rumput dan motosikal bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan secara mobile,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan PPP Mobilepreneur Peringkat Negeri Kedah di Dewan UMNO Bahagian Sik, baru-baru ini.
Yang turut hadir, Pengarah Urusan FTC, Rohaizat Ahmad.
Tambah Mohd. Tajudin, diharap peserta program ini dapat mengubah pemikiran mereka untuk menambah pendapatan bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing daripada terus dibelenggu kemiskinan.
Sementara itu, Nor Sahili Ahmad, 43, berkata, dia berasa gembira kerana terpilih menjadi antara 30 peserta di negeri ini yang layak menerima bantuan menerusi PPP Mobilepreneur tersebut.
“Bantuan mesin jahit, tangga dan motosikal ini membolehkan saya mengembangkan perniagaan menjahit langsir dan pakaian yang selama ini terhad di rumah sahaja. Kini, saya boleh mencari pelanggan dari rumah ke rumah.
“Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi pe­luang kepada rakyat seperti kami untuk meningkatkan pendapatan dan membaiki taraf hidup masing-masing,” ujarnya.
Oleh : Norlia Ramli
Sumber : Utusan