SERUM KOSMETIK DITEMUI PADA GETAH



27serum
POKOK SENA 27 Ogos – Pendapatan penoreh getah bakal meningkat tiga kali ganda berdasarkan kajian mendapati getah turut menghasilkan sejenis bahan yang berkeupayaan untuk dijadikan serum kosmetik.
Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, kajian tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Getah Malaysia dan ia kini berada di peringkat akhir.
“Kalau kajian ini berjaya, harga getah akan terus meningkat sehingga tiga kali ganda. Kita nak maklum kepada mereka yang menanam getah supaya jangan khuatir dengan kejatuhan harga getah sekarang.
“Penemuan serum kosmetik pada getah ini adalah yang pertama di Asia. Walaupun kita berada di tangga kelima negara pengeluar getah, tapi teknologi kita masih di nombor satu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Kasihi Pekebun Peringkat Negeri Kedah 2016 dan Perasmian Pusat Servis Tayar Risda Fleet Sdn Bhd di Kompleks Bersepadu Risda Pokok Sena, semalam.
Menurutnya, maklumat lanjut berkenaan penemuan serum itu akan diumumkan sedikit masa lagi selepas kajian itu siap sepenuhnya.
“Serum kosmetik ini adalah antara usaha yang kita sedang laksanakan untuk memajukan industri getah selain industri hiliran sedia ada iaitu sarung tangan,” katanya.
Pada program itu, Risda turut menyampaikan Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah sebanyak RM500 kepada 300 pekebun kecil dan penoreh getah di daerah Pokok Sena.
“Sebahagian penerima telah dimasukkan duit ke akaun mereka dan sebahagian lagi belum sebab ada masalah dari segi dokumentasi. Jangan khuatir, wang Risda yang kita simpan masih ada.
“Kalau belum dapat harap bersabar, tak ada isu duit Risda habis. Kita belum bagi kerana dokumentasi yang kurang jelas,” katanya.
Selain itu, beliau juga merasmikan Pusat Servis Tayar Risda Fleet Sdn Bhd, Pokok Sena yang pertama di Kedah dengan menawarkan perkhidmatan membaik pulih kenderaan, servis tayar, bateri, alat gantian kenderaan dan minyak pelincir.
“Kita akan bincang dengan kerajaan supaya tayar-tayar terpakai yang masih elok di negara luar misalnya Jepun dibenarkan import ke Malaysia. Sebab apabila harga getah jatuh, pekebun kecil ini kadang-kadang tak cukup duit nak tukar tayar baru.
“Maknanya kita minta kebenaran khas, hanya Risda boleh import sebab kita nak kalau boleh Risda diberi keistimewaan. Contohnya nak tukar tayar hari ini modal tak cukup, getah pun tak boleh jual sebab musim kemarau. Tapi dengan hanya RM50 mereka sudah boleh dapat tukar tayar baru,” katanya.
Oleh : Mohamad Fakhri Mohd Ali
Sumber : Sinar