RUMAH MAMPU MILIK BAKAL DIBINA



26rumah
BANDAR BAHARU 26 Julai - Sebanyak 58 unit rumah mampu milik akan ditawarkan kepada penduduk setempat di bawah harga RM200,000 dalam satu projek pembangunan di Seksyen 8, Serdang dekat sini.
Pengarah Urusan Kumpulan Bina Darul Aman Berhad (BDB), Datuk Izham Yusoff berkata, projek di atas lot Plot 1 dan 2 itu merangkumi 132 unit rumah dan 11 kedai pejabat yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.
Menurutnya, sebanyak 45 peratus atau 58 unit daripada jumlah rumah tersebut dikhaskan untuk kediaman mampu milik yang ditawarkan kepada penduduk setempat.
“Walaupun setiap projek pembangunan perumahan kita perlu sediakan kuota sebanyak 30 peratus rumah mampu milik, namun kita telah ambil keputusan untuk lancarkan 45 peratus rumah mampu milik di Serdang ini.
“Jadi keluarga yang tinggal di sini nak beli rumah baru, di sini boleh dapatkan kerana harganya memang mampu milik berbanding harga asal,” katanya ketika ucaptama pada Majlis Pecah Tanah, dekat Serdang semalam.
Izham berkata, projek pembangunan itu akan dilaksanakan di atas tanah berkeluasan kira-kira empat hektar yang bernilai RM31 juta.
“Pembangunan ini memberikan impak yang besar apabila kita laksanakan termasuk kepada ekonomi setempat,” katanya.
Tambahnya, majlis pecah tanah juga penting sebagai tanda usaha sama dengan Pejabat Daerah Bandar Baharu yang akan dimulakan dalam masa terdekat.
“Kita juga perlu komitmen semua pihak untuk sediakan perumahan mampu milik ini yang akan dibangunkan di bawah anak syarikat BDB iaitu Kedah Holding Bhd,” katanya.
Katanya, dengan kehadiran masyarakat setempat pada program itu menunjukkan permintaan terhadap rumah mampu milik dan bangunan kedai sentiasa ada.
“Kita lihat ramai yang datang isi borang nak mohon rumah mampu milik dan kedai, jadi keperluan untuk membangunkan ini sentiasa ada,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, projek pembangunan diperlukan untuk memajukan kawasan ini terutama sektor perumahan apabila melihat permintaan yang ada.
“Kita mengalu-alukan kedatangan pelabur untuk membangunkan kawasan ini dan kita akan memberi kerjasama baik,” katanya.
Terdahulu, Exco Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, Datuk Dr Ku Rahman Ku Ismail mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Hanipah turut hadir bagi merasmikan Majlis Pecah Tanah.
Sumber : Sinar