PENEROKA GETAH DAPAT MANFAAT



23peneroka
SIK 23 Ogos - Seramai 600 penoreh getah di Kedah mendapat manfaat daripada program bantuan laman kebun menerusi Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) yang diperkenalkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan Kedah, Datuk Mohd Tajuddin Abdullah berkata, Risda memperuntukkan sejumlah RM600,000 bagi membekalkan peralatan dan benih untuk penoreh getah memulakan tanaman sampingan di halaman rumah dalam usaha menjana pendapatan.
Katanya tanaman tersebut termasuk cili besar, rock melon dan sayur kailan yang boleh dituai dalam tempoh kurang setahun.
"Usaha ini diharap dapat membantu peserta menambahkan hasil pendapatan, sekurang-kurangnya RM80 sebulan, terutama dalam situasi kejatuhan harga getah dunia ketika ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Kasihi Pekebun dan Penyerahan Pakej Bantuan Laman Kebun Peringkat Risda Daerah Sik di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Risda Kedah, Ahmad Bahari.
Mohd Tajuddin berkata, langkah diambil Risda itu wajar dipuji dan beliau berharap supaya peserta komited dalam mengusahakan tanaman tersebut.
Sementara itu, seorang peserta, Rozaini Zabidi, 31, dari Kampung Kuala Jeneri di sini berkata beliau bersemangat untuk menghijaukan kawasan halaman rumahnya dengan tanaman berkenaan.
"Di kawasan rumah memang ada sedikit sayuran yang ditanam untuk kegunaan sendiri, masih ada banyak kawasan lapang yang boleh digunakan, tambahan sistem ini tidak memerlukan elektrik dan penjagaannya tidak begitu rumit," katanya.
Sumber : Sinar