SASAR RUMAH PPA1M KE SELURUH DAERAH



19sasar
ALOR SETAR 19 Mei - Kerajaan negeri berhasrat memperluaskan program Pe­rumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) ke seluruh daerah negeri ini bagi membolehkan lebih ramai penjawat awam negeri dan Persekutuan memiliki rumah sendiri.
Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, kerajaan negeri akan memohon agar Kerajaan Persekutuan memperuntukkan lebih banyak kuota rumah PPA1M untuk penjawat awam di negeri ini.
Katanya, setakat ini sebanyak 7,000 unit rumah PPA1M akan dibangunkan membabitkan daerah Kulim, Kuala Muda, Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang dan Pokok Sena.
“Kerajaan negeri menyasarkan setiap daerah untuk membangunkan projek perumahan mampu milik kepada semua penjawat awam dan kita akan minta kerajaan tambah lebih banyak lagi projek PPA1M di negeri ini.
“Kesungguhan kerajaan membe­la nasib rakyat diterjemahkan me­lalui program pembangunan seperti ini serta lain-lain projek pembangunan demi kesejahteraan dan keselesaan rakyat. Saya berharap mereka rebut peluang yang ada untuk memastikan pelaburan yang bakal kita buat untuk jangka masa panjang ini akan memberikan manfaat pada kemudian hari,” katanya dalam Maj­lis Perasmian dan Pameran PPA1M di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Badrul Hisham Hashim dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din.
Pada sambutan Hari Pekerja 2014, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan projek perumahan penjawat awam yang pertama di Kedah iaitu di Bukit Pinang yang kemudiannya dimasukkan dalam Bajet 2015.
Setakat ini sebanyak 14 projek PPA1M akan dibuat secara berpe­ringkat di seluruh negeri ini sehingga 2018 dengan kadar 15 hingga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran.
Tambah Ahmad Bashah, unit perumahan yang dibina berkenaan akan ditawarkan kepada penjawat awam yang layak memohon dan sedang berkhidmat di dalam pentadbiran kerajaan negeri atau Persekutuan, badan berkanun serta pihak berkuasa tempatan supaya dapat memiliki rumah sendiri.
“Di antara projek yang sudah dibangunkan melalui usahasama di antara kerajaan dan swasta ini ialah Program Perumahan Belliza di Tanah Merah, Daerah Kubang Pasu dan Projek Perumahan Taman Sa­yang di Jalan Kuala Sungai, Daerah Kota Setar.
“Projek-projek tersebut bukan sahaja menawarkan harga lebih rendah daripada harga pasaran kepada penjawat awam, malah persekitaran kawasan perumahan yang selesa serta reka bentuk rumah lebih menarik. Saya diberitahu projek ini mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai dan ada antaranya sudah habis dijual,” katanya.
Oleh : Jamliah Abdullah
Sumber : Utusan