SERDANG 28 September - Kerajaan sedang melaksanakan penjenamaan semula Kedah Wi-Fi secara berperingkat bagi memudahkan orang ramai mengakses kemudahan internet percuma itu.
Exco Sains, Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Teknologi Tinggi, Dato' Noorsabrina Mohd Nor berkata, setakat ini Kedah WiFi sudah dimulakan di pejabat kerajaan seperti Wisma Negeri untuk digunakan secara percuma.
"Penjenamaan semula pelbagai model WiFi seperti Telekom Malaysia (TM), Digi dan sebagainya akan dilakukan secara berperingkat termasuk di pusat pelancongan dan kedai makan terpilih.
“Memang sebelum ini kerajaan sudah melaksanakannya di hampir seluruh kawasan, namun dengan menggunakan pelbagai model, jadi kali ini kita mahu ia diselaraskan dengan nama Kedah WiFi," katanya pada majlis Aidiladha, semalam.
Menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) agensi yang dapat membantu menjayakan perkara ini untuk memberi manfaat kepada semua rakyat.
“Kita juga menyasarkan 1,000 lokasi dilengkapi kemudahan WiFi selewat-lewatnya hujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga sedang melaksanakan sistem e-masjid kepada 36 masjid terpilih yang dilengkapi dengan kemudahan WiFi.
“Sekarang kerajaan sedang memasang kemudahan akses internet di masjid di daerah terpilih bagi membolehkan orang ramai melayari portal masjid untuk sebarang aktiviti.
"Malah, kerajaan juga akan terus memperbanyakkan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di seluruh kawasan kampung sekali gus kita harap PI1M ini dapat membantu masyarakat luar bandar merapatkan jurang digital dan tak ketinggalan jauh,” katanya.
Sumber : Sinar