BAUCER UNTUK RUNCIT



21baucer
PENDANG 21 September – Bank Islam Malaysia Berhad menjadi bank pertama di Malaysia yang memperkenalkan kemudahan penunaian baucar bagi pembayaran runcit.
Ketua Pegawai Operasi Bank Islam, Dato’ Norasni Ayob berkata, perkhidmatan itu adalah satu bentuk transformasi kaedah pembayaran yang lebih cekap dan efisien yang ditawarkan Bank Islam kepada pelanggan korporatnya serta kemudahan alternatif kepada mereka bagi membuat pembayaran runcit.
Menurutnya, antara kebaikan sistem itu adalah dapat mengurangkan pengeluaran cek badan korporat yang membuat bayaran runcit kepada pelanggan mereka. Pelanggan runcit tidak perlu lagi membuka akaun bank kerana ia boleh ditunaikan di mana-mana kaunter cawangan Bank Islam dengan hanya menggunakan pengimbas biometrik atau cap jari pelanggan.
“Kaedah ini membolehkan pelanggan menebus wang mereka dengan serta merta tanpa perlu menunggu beberapa hari seperti proses penjelasan cek,” katanya selepas menandatangani perjanjian persefahaman antara Bank Islam dengan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang diadakan di Desa Lestari Asam Jawa.
Beliau memberitahu, perjanjian itu dibuat bagi memudah dan mempercepatkan urusan pembayaran elaun oleh pihak KEDA kepada Pengerusi serta Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri ini.
Tambahnya, kemudahan penunaian baucar itu juga dibuat sejajar dengan usaha dan objektif Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan pengeluaran cek dan mempromosikan pembayaran tanpa tunai secara lebih efisien dengan kos minima.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian, Asas Tani dan Pembangunan Usahawan, YB. Dato’ Suraya Yaacob.
Sumber : UMTK