TERMINAL PERIKANAN BERSEPADU KEDAH



9mukriz
ALOR SETAR 9 Ogos - Kerajaan negeri menjangkakan pembangunan projek mega Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT) di Kuala Kedah dimulakan pada Ogos tahun depan setelah mendapat kelulusan daripada pihak berkaitan.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pemaju projek berkenaan kini giat melakukan kajian Kesan Alam Sekitar (EIA) sebelum memulakan kerja penambakan di kawasan tersebut.
“Pemaju sedang giat melakukan kajian EIA secara terperinci kerana ia melibatkan persisir pantai dan laut. Kita nak pastikan tiada kesan yang akan memudaratkan alam sekitar dan apabila siap kelak mereka akan kemukakan kepada kerajaan negeri.
“Projek berkenaan merupakan satu projek mega dan kita nak segerakan kerana di peringkat kerajaan negeri tiada halangan dan berharap ia dapat dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kedah dekat sini hari semalam.
Tambah beliau, hasil perbincangan dengan nelayan dan penduduk di kawasan berkenaan menerima maklum balas yang positif memandangkan KIFT dilihat mampu membantu meningkatkan pendapatan serta memberi nilai tambah kepada sektor perikanan di kawasan itu.
“Terlebih dahulu kita mengadakan perbincangan dengan pihak terbabit sekiranya ada bantahan tetapi mereka mengalu-alukan projek seperti ini,” katanya.
Pada Mei lalu, kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) memeterai perjanjian persefahaman dengan sebuah syarikat perikanan terkemuka dari China, Kumpulan Qingdao Lu Hai Feng (LHF) bagi membangunkan projek bernilai RM1 bilion berkenaan.
KIFT dirancang dibangunkan di Tebengau, Kuala Kedah dan bakal menjadi terminal perikanan terbesar di Asia Tenggara.
Sumber :  Utusan
Oleh : Jamliah Abdullah