SILAT TARIKAN BAHARU PELANCONGAN LANGKAWI



25silat
LANGKAWI 25 Ogos - Silat mampu dijadikan antara produk pelancongan di Langkawi untuk menarik minat pengunjung terutama pelancong asing mengenali seni mempertahankan diri orang Melayu.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Nor Saidi Nanyan berkata, sebagai permulaan, acara demonstrasi silat boleh diadakan secara mingguan di gelanggang yang bersesuaian bagi menggalakkan pelancong datang menyaksikannya
"Silat sebagai seni mempertahankan diri mempunyai nilai universal dan turut diminati di negara lain.
"Dengan mengaitkannya dengan pelancongan, ia dapat memberi nilai tambah kepada produk pelancongan sedia ada," katanya ketika ditemui di sini.
Pada masa sama, katanya, pembabitan lebih ramai remaja tempatan dalam penganjuran aktiviti ini mampu mengelakkan mereka daripada terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat.
"Silat juga menggambarkan budaya (hormat-menghormati) Melayu dan dapat menjadi mekanisme untuk mengisi kekosongan jiwa (remaja) dan (menyebabkan mereka) meninggalkan perkara yang tidak berfaedah," katanya.
Sumber : Bernama