Ribut : Boleh Tuntut Insurans

8kedah
KUALA NERANG 13 Jul - Pemilik kenderaan yang rosak akibat dihempap pokok dalam kejadian ribut kelmarin boleh membuat tuntutan insurans daripada Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Exco Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, ini kerana MBAS mempunyai insurans khas bagi membiayai kos baik pulih kenderaan yang rosak selepas dihempap pokok di bawah seliaan mereka.

Menurutnya, perkara itu dimaklumkan oleh Datuk Bandar MBAS, Datuk Mat Noh Ahmad iaitu pemilik kenderaan yang rosak akan diberi insurans tersebut mengikut jenis kerosakan kenderaan mereka.

“Mereka boleh ke pejabat MBAS bagi mendapatkan penjelasan dengan lebih lanjut mengenai perkara itu,” katanya.

Sementara itu, beliau turut meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu melakukan tindakan segera dengan memangkas dahan pokok yang berada di tepi jalan.

Badrol Hisham berkata, ini kerana pokok besar berusia puluhan tahun yang mempunyai dahan yang banyak mudah tumbang selepas ditiup angin kencang.

“Sekarang ini cuaca tak menentu dan pokok besar yang ditanam oleh PBT di tepi jalan dengan tujuan landskap boleh menyebabkan berlaku kerosakan kenderaan serta kecederaan kepada pengguna jalan raya.

“Saya akan lakukan mesyuarat khas bagi membincangkan isu ini bersama semua PBT dan berharap perkara ini tidak akan berulang sekiranya pencegahan awal dilakukan,” katanya.

Katanya, setiap PBT juga perlu menubuhkan skuad khas yang akan digerakkan ke tempat kejadian untuk memotong pokok tumbang di atas jalan raya bagi mengelak berlakunya gangguan trafik yang terlalu lama.

Beliau berkata, ia juga bagi membantu pasukan penyelamat lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) menjalankan tugas tersebut.

Dalam kejadian jam 11.40 pagi kelmarin, tujuh kenderaan dilaporkan dihempap pokok di Lebuhraya Sultan Abdul Halim dan Jalan Sultan Badlishah di sini ketika hujan lebat dan angin kencang berlaku.
Sumber : Sinar