Peruntukan Besar Untuk Program Imarah Agama



23peruntukan
ALOR SETAR 23 Jul – Sejumlah RM44,543,652 diperuntukkan Kerajaan Pusat kepada Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) untuk pembayaran elaun kepada empat kumpulan penggerak aktiviti keagamaan di negeri ini sepanjang tahun ini.
Ia membabitkan elaun 2,772 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) bernilai RM29.4 juta serta bakinya untuk pembayaran elaun bulanan 400 guru dan pembantu takmir di bawah Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) selain elaun 1,636 Imam serta 12 Pegawai Penyelaras Masjid Daerah (PPMD).
Peruntukan itu diagihkan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB. Dato’ Seri Jamil Khir Baharom kepada Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang mewakili MAIK.
Majlis penyerahan yang berlangsung di Istana Anak Bukit itu turut dihadiri Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir dan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan dan Warisan serta Kerja Raya, YB. Dato’ Mohd Rawi Abd Hamid.
YB. Dato’ Mohd Rawi Abd Hamid ketika ditemui berkata, peruntukan itu membuktikan Kerajaan Pusat sentiasa menyokong usaha membangunkan syiar Islam di Negeri Kedah, terutama dalam mengimarahkan program agama di negeri ini.
Sumber : UMTK