PUSAT PERUNTUK RM137.7 JUTA DI KEDAH



8pusat
SUNGAI PETANI 7 Jun - Sebanyak RM137.7 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan Pusat bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan di Kedah tahun ini berbanding RM123.3 juta tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pe­nerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah berkata, melalui peruntukan itu banyak kemudahan se­perti pembinaan jalan kampung dan bekalan elektrik dapat disalurkan di kampung-kampung di negeri ini.
“Banyak masalah yang dihadapi oleh penduduk di kawasan luar bandar akan diselesaikan tidak lama lagi secara berperingkat-peringkat.
“Sehubungan itu, semua ketua jabatan, pegawai daerah, penghulu mukim dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu mencari jalan terbaik untuk memajukan kampung-kampung di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung Kesatuan Penghulu/Penggawa Semenanjung Malaysia (KPPSM) Cawangan Kedah di Bilik Mesyuarat Pantai Merdeka Resort Kota Kuala Muda, di sini hari ini.
Seramai 70 penghulu dari 126 mukim di negeri Kedah hadir dalam mesyuarat agung itu.
Mohd. Tajudin berkata, satu peruntukan khas juga telah diluluskan iaitu sebanyak RM26.5 juta untuk melaksanakan projek bekalan air di daerah Sik dan Padang Terap.
“Projek ini bakal memberi kemudahan kepada seramai 28,000 penduduk di kawasan terlibat.
“Selain itu, usaha juga perlu terus dilakukan untuk menaikkan imej penghulu di negeri ini kerana mereka juga berupaya membawa perubahan dalam kalangan penduduk di kawasan masing-masing,” katanya.
Oleh : Razak Osman
Sumber : Utusan