PEKAN CINA BAKAL BERUBAH WAJAH



7pekan
ALOR SETAR 7 Mei – Deretan kedai tradisional di Pekan Cina dan Tanjung Chali yang dianggarkan berusia 300 tahun bakal berubah wajah hasil usaha yang diambil Kerajaan Negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, Kesihatan dan Perpaduan, YB. Dato’ Dr. Leong Yong Kong berkata, satu gotong-royong turut dijalankan Biro Belia Cina untuk menceriakan kawasan antaranya mengecat bangunan bersempena Tahun Baru Cina dan Lagenda Kedah.
“Kita mengambil contoh, Semeling untuk mentransformasikan Pekan Cina kerana memiliki potensi sebagai tempat pelancongan meskipun lama dan usang. Malah, variasi aktiviti akan diadakan di sekitar kawasan berkenaan bagi menonjolkan kebudayaan dimiliki masyarakat seperti Melayu dan Cina,” ujarnya.
Beliau memberitahu, pihaknya akan memasang tanglung di jalan utama antara Persimpangan Pekan Cina dan Persimpangan Pekan Melayu sebagai permulaan merealisasikan perkara itu. Kami turut menjemput bakat-bakat tempatan untuk membuat lukisan mural pada dinding tertentu bangunan demi menarik kehadiran pelancong.
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi Abdul Hamid berkata, pihaknya merancang pelbagai aktiviti demi mempromosikan Pekan Cina dan Tanjung Chali kepada pengunjung.
“Kita merancang membangunkan semula tempat berniaga untuk orang lama yang pernah berniaga di persisiran Tanjung Chali satu masa dahulu. Kami juga akan mewujudkan perkhidmatan river cruise dan mengadakan kembali Pesta Sungai demi menghidupkan kawasan tersebut,” jelasnya.
Sumber : UMTK