Langkawi Disaran Bersedia Terima Pengunjung



15langkawi
ALOR SETAR 15 April – Kerajaan Negeri akan berusaha memastikan Pulau Langkawi sentiasa dalam keadaan bersedia untuk menerima lebih ramai pengunjung sempena sambutan Tahun Melawat Kedah 2016.
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi Abdul Hamid berkata, persediaan itu termasuk memastikan bilangan hotel dan resort yang ditawarkan kepada pelancong mencukupi.
“Sekarang ini memang terdapat banyak hotel dan resort di Langkawi, namun dengan pertambahan bilangan pelancong dari dalam dan luar negeri, mungkin jumlah yang ada sekarang tidak mencukupi. Kita akan berusaha untuk mempromosikan Langkawi dan cuba menarik lebih ramai pelabur asing untuk melabur dalam bidang perhotelan di pulau ini,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat memberitahu, prospek pelancongan di Langkawi amat cerah memandangkan keindahan flora dan fauna pulau itu masih terpelihara dan perkara itu turut diakui oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB. Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Baru-baru ini beliau ada datang ke Pulau Langkawi dan beliau sendiri menawarkan diri untuk sama-sama membantu mempromosikan pulau ini agar menjadi satu destinasi pelancongan terbaik di rantau ini. Kami warga Pulau Langkawi amat berbangga dengan kesudian beliau dan kami yakin pulau ini mampu menjadi destinasi pelancongan popular dengan kerjasama semua pihak,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memastikan lokasi pelancongan di sekitar Alor Setar dan daerah lain sentiasa berada dalam keadaan yang bersih. Lokasi tumpuan pelancong yang berada dalam keadaan bersih juga memerlukan kerjasama semua pihak sekiranya ingin menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.
Sumber : UMTK