Bukit Kayu Hitam Jadi Bandar Terancang



 11jerlun
ALOR SETAR 6 April - Kerajaan negeri merancang menjadikan pusat bandar Bukit Kayu Hitam sebagai Kompleks Transformasi Darul Qiyam (Darul Qiyam Transformation Complex) selaras dengan dasar Rancangan Struktur Negeri Kedah 2002-2020.
Pengerusi Jawatankuasa Ke­rajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Badrul Hisham Hashim berkata, antara pem­ba­ngunan yang dicadangkan di bandar sempadan itu adalah stesen bas, teksi, bazar perniagaan dan pusat penjaja.
“Persidangan Majlis Daerah Kubang Pasu yang bersidang pada 25 Jun 2014 telah memperakukan pelan komprehensif pembangunan pusat ini dan ia telah diluluskan dalam mesyuarat perancang negeri.
“Kini Jabatan Pe­rancang Bandar dan Desa negeri akan membuat tindakan publisiti Rancangan Tempatan yang me­libatkan pelan tersebut dan status kemajuan di tapak pada masa ini ialah masih dalam tindakan kerja-kerja tanah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Zaini Japar (BN-Bukit Kayu Hitam) ketika sesi soalan lisan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman hari ini.
Oleh : Laporan Safina Ramli
Sumber : Utusan