Penyumbang Bina Rumah Mangsa Banjir Dirai

15penyumbang

ALOR SETAR 15 Febuari - Kerajaan negeri merakamkan penghargaan kepada syarikat yang tampil memberi sumbangan untuk program membina rumah mangsa banjir di Kampung Karangan, Manek Urai, Kelantan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, sumbangan yang diberikan bukan hanya dalam bentuk wang tunai malah khidmat nasihat, simen, kayu, sinki, tandas dan peralatan untuk pembinaan.
“Selain itu terima kasih juga kepada tenaga kerja yang terlibat memberikan bantuan untuk pembinaan tersebut.

“Tiada masalah yang berlaku kerana begitu ramai datang membantu dan saya rasa senang hati kerana Kedah antara negeri yang cepat bertindak untuk memulakan kerja pembinaan rumah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis penghargaan kepada para penyumbang bantuan untuk projek rumah sementara berkenaan di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, beliau menyampaikan sijil penghargaan kepada 18 syarikat yang tersenarai menyumbangkan bantuan bernilai hampir RM2 juta untuk program tersebut.

Antaranya, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK); Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA); Kulim Hi-Tech Park Corporation (KPTC); Bina Darulaman Berhad (BDB); Belati Wangsa (M) Sdn. Bhd; Yayasan Muhibbah Tan Sri Feng Ah Seng dan TH3 Holdings Sdn. Bhd.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, 18 daripada 53 unit rumah yang disasarkan untuk dibina hampir siap dalam masa terdekat ini.

Beliau menambah, tapak rumah telah disediakan untuk unit rumah yang selebihnya dan hanya menunggu masa untuk memulakan pembinaan.
Advertisement

“Saya ambil kesempatan hari ini untuk raikan semua peyumbang dan ucapkan terima kasih bukan hanya bagi pihak kerajaan negeri Kedah tetapi juga bagi pihak mangsa bencana yang menerima rumah itu,” katanya.

Oleh : Nazmil Nasiruddin

Sumber : Utusan