ALOR SETAR 15 Disember – Kesedaran
masyarakat amat penting dalam membendung wabak virus kencing tikus dan
demam denggi dari terus menular secara berleluasa.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang
Negara (PAC) Negeri Kedah, YB. Dato’ Azmi Che Hussain berkata, antara
usaha yang boleh dilaksanakan termasuk meningkatkan kempen kesedaran
tentang kesan bahaya wabak berkenaan hingga boleh membawa kepada
kematian.
“Kita juga turut meminta jasa baik
Jabatan Penerangan Kedah untuk kerap kali menghebahkan mengenai pelbagai
maklumat berkaitan wabak supaya masyarakat lebih peka,” katanya kepada
pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PAC bersama wakil Jabatan
Kesihatan Negeri Kedah.
Menurutnya, sehingga Jun 2014 kira-kira
134 pesakit yang disahkan mengidap virus kencing tikus dan tiga
daripadanya dari Langkawi, Sik serta Padang Terap dilaporkan meninggal
dunia sementara tahun 2013 mencatatkan 11 kes.
“Sikap serta tabiat baik anggota
masyarakat mampu mengawal penularan wabak ini apabila sentiasa menjaga
kebersihan serta tidak membuang sampah merata-rata ketika berkunjung ke
kawasan hutan lipur. Apabila persekitaran kotor, tikus mudah membiak
seterusnya turut menyebarkan virus.
“Mereka tidak perlu takut ke kawasan
hutan lipur disebabkan kes seperti ini, sebaliknya kena lebih
berhati-hati. Kerajaan sudah mengeluarkan banyak perbelanjaan untuk
menaiktaraf kawasan riadah dan tanggungjawab menjaga kebersihan terletak
di bahu semua pihak,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, perlu ada satu
jabatan khusus boleh mengawasi kerja-kerja membasmi tempat pembiakan
tikus supaya dapat dibuat secara lebih sistematik. Berbanding sekarang
beberapa jabatan seperti kesihatan, perhutanan dan pihak berkuasa
tempatan terlibat dalam memantau hutan lipur yang didapati berlaku
penyebaran virus kencing tikus.
Sumber : UMTK