AEON Big Labur RM95j Di Alor Setar

 
9aeon
 
Oleh Jamliah Abdullah
 
ALOR SETAR 9 November - AEON Big (M) Sdn. Bhd. (AEON Big) melabur sebanyak RM95 juta untuk membuka cawangan baharu pasar raya besarnya, AEON Big di Jalan Gangsa di sini yang bakal beroperasi hujung tahun ini.
 
Pengarah Urusan AEON Big, Mitsuru Nakata berkata, pembukaan pasar raya pertamanya di Kedah itu merupakan cawangan AEON Big yang ke-29 di Malaysia.
 
Katanya, pasar raya besar yang mempunyai keluasan kira-kira 9,144 meter persegi itu kini 99 peratus siap dan apabila siap dijangka pada awal Disember ini mampu menawarkan pelbagai pilihan membeli-belah kepada penduduk negeri ini dan negeri jiran, Perlis.
 
“Sebaik beroperasi kelak, ia mampu menawarkan rangkaian produk termasuk makanan segar, barangan keperluan harian, perkakas rumah, barangan elektrik dan pakaian.
 
“Di samping itu, pasar raya ini juga bakal menempatkan 60 penyewa lain menyediakan pelbagai perkhidmatan dan servis kepada pelanggan,” katanya kepada pemberita selepas Program Penanaman Pokok sempena pra perasmian pembukaan AEON Big di sini semalam.
 
Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.
 
Tambah Mitsuru, selain menyediakan perkhidmatan kepada penduduk di sekitar bandar raya ini pasar raya itu turut memenuhi keperluan penduduk dari kawasan berdekatan seperti Sik, Jitra, Kuala Nerang termasuk dari sekitar Perlis.
 
Menurutnya, biar pun mempunyai pesaing lain di sekitar bandar raya namun beliau yakin kepelbagaian produk yang ditawarkan mampu menjadi tarikan kepada pelanggan.
 
“Selain menjual produk-produk berjenama, kami turut memasarkan lebih 1,700 produk jenama sendiri seperti Top Value dan Big Values. Secara tidak langsung, ia bakal menjadi pilihan untuk berjimat di samping menikmati pelbagai promosi yang ditawarkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.
 
Jelasnya, selain memberi pilihan kepada pelanggan membeli-belah kewujudan AEON Big juga mampu menjana pendapatan penduduk setempat melalui penawaran peluang pekerjaan.
 
“Kami menjangka sebanyak 1,000 peluang pekerjaan mampu ditawarkan secara langsung atau tidak langsung sebaik sahaja ia beroperasi nanti,” katanya.
 
Pada perkembangan berkaitan, Mitsuru memberitahu syarikat itu turut merancang membuka satu atau dua cawangan baharu AEON Big pada tahun hadapan.
 
“Setakat ini kami masih mengenal pasti lokasi yang sesuai namun kemungkinan besar ia terletak di bahagian utara Semenanjung,” ujarnya.
 
Sumber : Utusan