Peluang Melihat 'Dinosaur' Di Kedah

16Peluang
ALOR SETAR 16 Oktober - Penduduk negeri ini kini berpeluang melihat haiwan prasejarah dinosaur dalam pameran bergerak Petrosains DinoTrek 2 di Balai Seni Negeri yang bermula Sabtu lalu sehingga Mei tahun depan.

Pameran anjuran pusat penerokaan sains kontemporari, Petrosains yang terletak di Suria KLCC, Kuala Lumpur itu merupakan yang kedua selepas siri pertamanya di negeri ini pada 2004.
Bagaimanapun pameran kali ini lebih menarik dengan sembilan dinosaur animatronik, 12 pameran interaktif serta pelbagai aktiviti lain yang menawarkan pengalaman berguna kepada pengunjung terutama kanak-kanak.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Petrosains, Norliza Kamaruddin, Petrosains komited untuk menggalakkan rakyat menjadi celik sains serta untuk mencetuskan minat rakyat dalam mempelajari bidang itu.

"Kami hendak seramai mungkin datang melihat pameran seperti ini. Kami mahu pupuk pembelajaran interaktif untuk memupuk semangat kanak-kanak mempelajari sains," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian itu di sini baru-baru ini yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

'Petrosains DinoTrek' dianjurkan buat pertama kali pada 2003 di KLCC sebelum dibawa ke negeri lain pada 2004 bermula dengan Kedah, diikuti Terengganu, Sabah dan Sarawak selama empat tahun.
Dalam pada itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim, pameran tersebut sehingga kini berjaya menarik 1.5 juta pengunjung di seluruh negara dan sebanyak 80,000 pengunjung disasarkan untuk pameran di negeri ini kali ini.

"Kali pertama di negeri ini diadakan di Muzium Kedah. Kali ini lebih besar dan lebih menarik kerana ada sembilan animatronik dan 12 pameran interaktif," katanya.
Pameran dibuka setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang dengan harga tiket adalah RM10 bagi dewasa, remaja dan kanak-kanak (RM5), rombongan sekolah (RM4), pakej keluarga iaitu dua dewasa dan dua kanak-kanak (RM20) manakala kanak-kanak bawah empat tahun percuma.

Sumber : Utusan