Kemudahan Wi-Fi Percuma

20Kemudahan
ALOR SETAR 20 Oktober – Selaras perkembangan pesat dunia teknologi maklumat dan informasi (ICT), sebanyak 36 masjid di seluruh negeri ini turut dilengkapi kemudahan internet tanpa wayar (Wi-Fi) percuma.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, YB. Norsabrina Mohd Nor berkata, pemasangan Wi-Fi berkenaan bagi memudahkan proses komunikasi dan mendapatkan maklumat mengenai sistem atas talian kepada orang ramai.

“Kemudahan Wi-Fi ini disediakan sempena program e-masjid dan e-Kitab yang menyediakan pelbagai aplikasi untuk kemudahan orang ramai. Menerusi kemudahan ini, ia secara tidak langsung mampu menarik lebih ramai jemaah terutama golongan muda untuk mengimarahkan masjid,” ujarnya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri kini giat merancang dan melaksanakan banyak aplikasi menggunakan jalur lebar bagi kemudahan rakyat untuk mengakses maklumat, malah Pusat Transformasi Digital Kedah di Bangunan UTC  turut dilancar pada September 2014.

“Pusat transformasi ini berperanan sebagai Pusat Sehenti yang memberikan kemudahan internet untuk orang ramai mengakses pelbagai maklumat,” katanya.

Sumber : UMTK