PPNK Dianugerah Tanah Di Gunung Bongsu

30ppnk
Mukhriz Mahathir bersalaman dengan para peladang ketika hadir dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-31 Pertubuhan Peladang negeri Kedah di Dewan MBAS di Alor Setar, semalam.

ALOR SETAR 30 September - Kerajaan negeri menganugerahkan tanah seluas 376.73 hektar di Gunung Bongsu kepada Pertubuhan Peladang Negeri Kedah (PPNK) kerana yakin tanah tersebut akan memberi manfaat kepada 90,000 ahli pertubuhan tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, berdasarkan rekod cemerlang PPNK yang mampu menguruskan tanah kurniaan kerajaan negeri di Charuk Sendok, Sik, kerajaan negeri tidak ragu-ragu untuk menganugerahkan tanah di Gunung Bongsu itu kepada pertubuhan itu.

"Saya kagum dengan prestasi cemerlang PPNK selama 31 tahun ditubuhkan dan saya dimaklumkan bahawa ladang PPNK di Charuk Sendok telah menghasilkan pendapatan purata sebanyak RM4 juta setahun.

"Jika dicampur pengeluaran hasil yang diperoleh selama 26 tahun adalah dianggarkan PPNK telah mendapat pendapatan hampir RM100 juta dan penganugerahan tanah di Gunung Bongsu adalah bukti bahawa kerajaan negeri yakin dengan kemampuan pertubuhan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PPNK kali ke-31 di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jemaah Pengarah PPNK, Datuk Badri Yunus dan ahli-ahli PPNK.

Menurut Mukhriz, PPNK juga telah berjaya melaksanakan program Azam Tani di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang disalurkan melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk membantu golongan miskin keluar daripada belenggu kemiskinan.

"PPNK sendiri terlibat dengan projek semaian getah untuk 112 peserta Azam Tani yang terdiri daripada golongan miskin tegar serta mewakili beberapa Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

"Sehingga bulan Ogos tahun ini, PPNK telah membayar dividen kepada peserta sebanyak RM1,900 seorang dan jumlah dividen yang telah dibayar kepada peserta sehingga kini ialah RM212,800.

"Oleh itu, saya menyeru kepada PPNK dan lain-lain PPK supaya meningkatkan usaha seumpama ini bagi membantu kerajaan mengurangkan kadar kemiskinan dalam kalangan rakyat terutama para peladang sekalian," jelasnya.

Sumber : UTUSAN