Tanpa Integriti Dasar Dirancang Gagal

29tanpa
JITRA 29 September – Kerajaan Negeri akan sentiasa bersama Institusi Pengurusan dan Integriti Kedah (INSPIN) dalam usaha memantapkan agenda integriti di kalangan setiap lapisan masyarakat dan penjawat awam di negeri ini.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, perkara itu penting kerana ia menjamin keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan dengan seruan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

“Saya percaya bahawa kepentingan integriti bukan sekadar menjadi pemangkin kepada transformasi, namun lebih penting daripada itu. Ia hendaklah dilihat sebagai ukuran kepada kejayaan transformasi itu nanti,” katanya pada majlis perasmian Kempen Merakyatkan Agenda Integriti Kedah 2014 di Dewan Wawasan.

Beliau menjelaskan, perlakuan tidak berintegriti bukan sahaja akan memusnahkan niat murni Kerajaan dalam membantu rakyat, tetapi turut menggagalkan dasar-dasar yang telah dirancang. Kesedaran terhadap nilai integriti tidak hanya terhad kepada sesuatu perkara sahaja, namun nilai integriti perlu dipersembahkan melalui penampilan, sikap mahupun sebarang keputusan yang dibuat.

“Hal ini kerana dalam usaha untuk merealisasikan pembangunan pentadbiran negara di era globalisasi, kita harus sentiasa dinamik dan fleksibel serta mempunyai nilai integriti yang tinggi. Penekanan terhadap perkara ini sememangnya adalah bertepatan dengan iltizam Kerajaan,” ujarnya.

Sumber : UMTK