Mantapkan Pentadbiran Dan Merancakkan Pertumbuhan Ekonomi

29Mantapkan
ALOR SETAR 29 September-  Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk memantapkan lagi pentadbiran dan merancakkan pertumbuhan ekonomi demi keperluan rakyat ke arah mentransformasikan Negeri Kedah sebagai sebuah negeri berdaya maju.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, faktor inilah yang telah menyuntik semangat Kerajaan Negeri untuk menyusun program pembangunan bagi Negeri Kedah melalui penyediaan Rancangan Malaysia Kesebelas  2016-2020, yang mana ia merupakan fasa akhir pelan hala tuju pembangunan ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

“Penyediaan Rancangan Malaysia Kesebelas memerlukan penglibatan yang menyeluruh daripada semua pihak yang berkepentingan terutamanya pihak kementerian, agensi kerajaan, Kerajaan Negeri, pihak swasta, pihak akademik, pemimpin masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO),” ujarnya pada majlis perasmian Program Retreat Penyediaan Rancangan Malaysia Kesebelas dan AkuJanji Kerajaan Negeri Kedah di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman.

Menurutnya, inisiatif yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri untuk mengadakan program ini selama dua hari seharusnya dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya agar segala perancangan pembangunan Negeri Kedah mengambil kira pelbagai aspek dan menepati kehendak semasa.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO); Pengarah Seksyen Pembangunan Wilayah di Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Razali Che Mat; Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Wira Haji Khazali Din dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Bahagian Pembangunan), Dato’ Haji Bakar Din.

Sumber : UMTK