Pesta Tanglung Merapatkan Hubungan Kekeluargaan

8tanglung
ALOR SETAR 8 September – Pesta Tanglung yang diraikan oleh masyarakat Cina di negara ini merupakan warisan masyarakat Cina yang dibawa dari Tanah Besar China serta digunakan bagi meraikan sambutan selepas musim menuai sebagai satu pernyataan kegembiraan dalam suasana pesta.

Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, pesta yang cukup menggembirakan terutama kanak-kanak dan remaja itu turut membantu merapatkan hubungan kekeluargaan, kejiranan dan kemasyarakatan.

“Pesta Tanglung dan perayaan kuih bulan disambut pada hari ke-15 bulan kelapan dalam Kalendar Cina dan ia turut diadakan saban tahun bagi menyuburkan warisan mereka,” katanya pada majlis perasmian Pesta Tanglung Peringkat Negeri Kedah yang diadakan di Perkarangan Stadium Darul Aman, di sini.

Menurutnya, Pesta Tanglung yang diadakan pada hari ini mampu mewujudkan jalinan muafakat dalam usaha memupuk semangat cintakan budaya kaum lain, sekaligus menerapkan semangat perpaduan yang kuat.

“Ini adalah sebahagian inisiatif yang kita buat untuk mengeratkan perpaduan antara kaum. Ia mampu menarik minat kaum lain untuk menyertainya, sekaligus dapat mengenali budaya masing-masing dengan lebih dekat,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, Kesihatan dan Perpaduan, YB. Dato’ Dr. Leong Yong Kong; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Pembangunan Insan, YB. Badrol Hisham Hashim dan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi Abdul Hamid.

Sumber : UMTK