Kerjasama Strategik Beri Manfaat Kepada Pelajar

29kerjasama
KULIM 29 September– Majlis Kolaborasi Strategik 2014 anjuran Kolej Komuniti Kulim bagi mewujudkan perkongsian pintar dalam bidang latihan dan pendidikan berlangsung dengan jayanya di Dewan Persidangan Kolej Komuniti Kulim.

Antara agensi dan syarikat yang menyertai program ini ialah  Jobs Malaysia Kedah, Jabatan Tenaga Kerja Negeri Kedah, Kumpulan Barkath, Amanah Ikhtiar Malaysia Kulim, Rzac Cosmetic dan Darwish Printing Solutions.

Program meliputi perkongsian maklumat, teknologi kepakaran dan latihan industri dalam usaha melahirkan lebih ramai pelajar Kolej Komuniti Kulim yang berkualiti termasuk untuk menghadapi dunia pekerjaan selepas tamat pengajian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, YB. Chua Thiong Ghee merangkap Lembaga Penasihat Kolej Komuniti Kulim ketika berucap merasmikan majlis itu berkata, usaha yang dilakukan banyak memberi manfaat kepada bakal pelajar kolej berkenaan.

“Masyarakat tempatan juga perlu mengambil peluang menyertai program ini hasil jalinan kerjasama antara agensi berkenaan dengan Kolej Komuniti Kulim. Cita-cita Kolej Komuniti Kulim untuk membawa perubahan hidup kepada masyarakat tempatan bakal menjadi kenyataan jika usaha dilakukan sentiasa mendapat sokongan semua pihak,” ujarnya.

Sumber : UMTK