ALOR SETAR 7 September – Amalan pelajar
membawa bekal makanan ke sekolah dilihat mampu menangani masalah kos
sara hidup meningkat yang membebankan pengguna.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), YB. Dato’ Seri Ahmad Bashah
Md Hanipah berkata, bawa bekal memberi faedah kepada pengguna.
“Seminggu sekali ataupun dua minggu
sekali bawalah bekal makanan ke sekolah masing-masing. Insya-Allah, ia
mampu mengurangkan beban kewangan keluarga. Bayangkan, belanja harian
dikeluarkan sekiranya memiliki lima anak. Namun, perbelanjaan keluarga
dikurangkan, manakala kos sara hidup diringankan dengan kempen ini,”
ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis
Pelancaran Kempen Jom Bawa Bekal Ke Sekolah Peringkat Negeri Kedah di
Dewan Sekolah Kebangsaan Taman Uda, di sini.
Katanya, kempen sukarela sedemikian
bertepatan dalam usaha mendidik pengguna berjimat cermat, malah sebagai
langkah penjimatan wang saku harian pelajar.
Menurutnya, amalan membawa bekal perlu
diterapkan dari peringkat muda bagi membolehkan pelajar merancang dan
mengurus perbelanjaan harian secara berhemah.
Sumber : UMTK