Sepakat Pastikan Projek Tidak Gagal

19projek
JERLUN 19 Ogos - Kerajaan Negeri dilihat bersedia bagi meneruskan hasrat pembinaan sebuah lapangan terbang baru selepas mendapati kesepakatan daripada semua pihak termasuk kalangan pembangkang.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, melalui Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah baru-baru ini, pihak pembangkang mengungkapkan sokongan atas hasrat tersebut.

Menurutnya, pandangan daripada mereka iaitu pembangkang supaya projek berkenaan tidak menjadi projek ‘gajah putih’ adalah sangat berharga.

“Ini adalah untuk memastikan hasrat ini tidak menjadi projek gajah putih sepertimana yang mungkin berlaku di negeri lain dan kita akan pastikan ia tidak gagal.

“Saya rasa sokongan semua pihak termasuk pembangkang, maka Negeri Kedah bersatu hati. Tidak ada di negeri kita sendiri mana-mana pihak yang membantah cadangan ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Fiesta Usahawan Parlimen Jerlun 2014 dan sambutan hari raya peringkat Parlimen Jerlun, di sini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam berkata, melalui persepakatan daripada semua pihak menjadi satu prasyarat bagi Kerajaan Negeri meyakinkan Kerajaan Persekutuan.

“Biarlah kita mempunyai kesepakatan 100 peratus dari kalangan rakyat Negeri Kedah yang diwakili ADUN mereka dalam usaha menjayakan hasrat ini,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Parlimen Jerlun, YB. Dato’ Othman Aziz dan Ketua Wanita UMNO Kedah, Dato’ Maznah Hamid.

Sumber : UMTK