Pegawai Integriti SPRM Di Setiap PBT - Cake

YUSOFF ISMAIL
9sprm
ALOR SETAR 9 Julai - Persatuan Pengguna Kedah (Cake) mencadangkan agar pegawai integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditempatkan di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan tugas membanteras kegiatan perjudian haram dilakukan secara telus.

Presidennya, Datuk Yusoff Ismail (gambar) berkata, langkah tersebut perlu dilakukan segera agar kegiatan perjudian haram itu dapat dihapuskan sepenuhnya di negara ini.

"Kadang-kadang kita hairan apabila satu serbuan dijalankan ke atas premis perjudian haram dengan mudahnya premis tersebut akan dibuka semula tidak lama kemudian.

"Sebab itu pihak Cake cadangkan agar pegawai integriti SPRM ditempatkan di setiap PBT agar usaha menghapuskan kegiatan perjudian haram di negara ini dapat dilakukan secara telus dan premis perjudian tersebut tidak dibuka semula selepas diserbu," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan mengenai aktiviti perjudian yang berlaku di seluruh negara sehingga mendapat reaksi pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang meminta semua pihak bertindak kerana kegiatan tersebut kini pada tahap luar biasa.

Menurut Yusoff, pegawai integriti SPRM itu juga perlu memantau setiap operasi serbuan yang dijalankan oleh pegawai-pegawai penguat kuasa PBT.
Katanya, pemantauan secara berkala juga perlu dilakukan dengan lebih kerap oleh anggota-anggota penguat kuasa PBT ke lokasi-lokasi premis perjudian haram yang pernah diserbu.

"Bila premis perjudian ini dibuka semula, anggota penguat kuasa PBT perlu terus menjalankan operasi dan menyerbu premis tersebut.

"Barangan yang ada di dalam premis ini perlu disita dan jangan dikembalikan kepada pemiliknya semula agar kegiatan tersebut tidak berulang kembali," jelasnya.

Sumber:Utusan